PN bincang MoU jika ada draf baharu, tubuh jawatankuasa

PN bincang MoU jika ada draf baharu, tubuh jawatankuasa

TAKIYUDDIN Hassan (tengah) bersama Ahli Parlimen PN menunjukkan tanda tidak bersetuju dengan draf MoU peruntukan pembangan semasa sidang media di Pejabat Pas Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan membincangkan semua berkait Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sekiranya kerajaan menyediakan satu draf baharu.

Ketua Whipnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain itu PN turut mahu sebuah jawatankuasa bersama diwujudkan bagi membincangkan intipati yang akan dimasukan dalam MoU tersebut.

Menurutnya,  jika kerajaan mahu mengekalkan kandungan MoU yang sedia ada ketika ini PN akan menutup pintu rundingan berkait perkara tersebut.

“MoU ketika ini, tiada ruang kepada kami (PN) untuk memberi sumbangan kerana semua syarat yang dikemukakan itu tidak boleh diterima. Kecuali datang satu draf yang dibincangkan bersama dengan kami, tubuhkan satu jawatankuasa dahalu. 

“Bincang dahulu apa yang hendak di masukan (dalam MoU), apa tidak boleh dimasukan. Itulah caranya, kalau seorang peguam nak buat satu perjanjian antara dua pihak. Peguam itu kena panggil kedua-duanya yang terlibat bincang baharulah masuk dalam perjanjian,” katanya kepada pemberita semasa sidang media berkait MoU peruntukan pembangkang di Pejabat Pas Kota Bharu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, MoU pembangkang itu bersifat satu pihak sahaja.

Katanya, draf itu sepatutnya dibuat berdasarkan perbincangan di antara PN dan kerajaan, bukannya satu pihak semata-mata.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kena dari segi amalan undang-undang, mana-mana pihak yang mahu membuat MoU atau perjanjian, kedua-dua pihak perlu berbincang dan menerusi perbincangan itulah terhasilnya MoU.

“Apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana tiada perbincangan langsung dibuat antara kerajaan dan PN sedangkan Perdana Menteri sebelum ini meminta perbincangan dibuat di antara PN dan kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.

Selain itu, katanya, mengongkong kebebasan di samping boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN