KOTA BHARU: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan gabungan itu akan membincangkan perincian mengenai draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkait peruntukan pembangkang pada 9 September.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, beliau sudah berbincang dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan satu sesi taklimat berkait perkara itu akan diadakan pada tarikh tersebut.
Menurutnya, setakat ini beliau tidak dapat memberikan komen berkait dengan MoU tersebut berikutan status surat berkenaan adalah rahsia.
“Saya terima surat dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri II (TPM II) yang dengan jelas mengatakan kandungan surat berkenaan adalah berstatus rahsia.
“Kita diberikan draf MoU ini untuk diteliti oleh semua ahli Parlimen PN, kemudian kita perlu kemukakan maklum balas kepada pihak kerajaan.
“Jadi saya tidak dapat mendedahkan butiran MoU Peruntukan Pembangkang itu buat masa ini tetapi mungkin boleh beri serba sedikit bayangan mengenai beberapa perkara berkaitan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media penganjuran Kota Bharu Half Maraton (KBHM) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Setiausaha Agung Pas itu memberitahu, antara perkara disentuh dalam surat tersebut adalah mengenai peranan pembangkang berwibawa seolah-olah mahu mengajar ahli Parlimen PN apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan.
“Sebagaimana pernah saya sebutkan, draf tersebut mempunyai unsur-unsur mengikat ahli Parlimen PN dengan syarat-syarat tertentu sebelum kerajaan membuat keputusan untuk meluluskan peruntukan.
“Ia juga umpama obligasi yang ditentukan kepada kami,” katanya.
Takiyuddin turut mendedahkan, beliau telah beberapa kali bertemu TPM II, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum surat berkenaan diterima pada 6 Ogos lalu dan ketika itu dimaklumkan draf MoU tersebut belum siap.
“Ketika itu saya bertanya TPM II siapa sebenarnya yang membuat draf MoU itu dan dimaklumkan tugas itu diserahkan kepada Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli).
“Jadi saya tidak pasti siapa sebenarnya menyediakan draf itu tetapi saya terima melalui Pejabat TPM II,” ujarnya.-UTUSAN