PM tegur langkah reformasi masih belum memuaskan

PM tegur langkah reformasi masih belum memuaskan

Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat teguran berhubung beberapa proses reformasi perkhidmatan awam belum ke tahap memuaskan terutamanya langkah penggabungan agensi dan jabatan yang masih tidak berlaku.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk mengambil tindakan terhadap masalah pertindihan jawatan yang kurang perlu, masih belum ditingkat ke tahap memuaskan.

Malah, Anwar turut menegur ketua jabatan yang belum mengemukakan laporan salah laku pegawai yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan awam.

“Laporan ketua-ketua jabatan, ketua-ketua pengarah dan ketua-ketua unit tentang kelembaban dan kecuaian beberapa pegawai itu pun belum ke tahap memuaskan.

“Semua ini harus kita lakukan kerana kita mesti melakukan anjakan sebaiknya,” katanya ketika berucap dalam majlis perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini semalam.

Anwar menegaskan, langkah reformasi yang diumumkan sebelum ini perlu dilaksana dengan segera kerana Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu sudah diumumkan.

Justeru, katanya, bulan September ini akan dijangkakan berlaku pergerakan reformasi yang lebih besar.

Untuk itu, beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil bagi memperbaiki prestasi yang dianggap sudah baik.

“Masalah rakyat itu tentang kecepatan kita menjawab surat tuntutan mereka sama ada boleh atau tak boleh, langkah-langkah prosedur yang harus dipatuhi, itu semua kita harus cari kaedah baharu.

“Saya selalu menganggap bahawa tahap kecepatan, kepantasan melakukan perubahan itu harus setimpal dengan tuntutan zaman dan tuntutan masa.

“Jadi, tentunya, saya umpamanya bila ambil jabatan, ada peraturan-peraturan biasa, telah dijalankan puluhan tahun, ada yang baik kita teruskan, tapi ada yang perlu kita ubah suai…tumpuan, keutamaan dan sebagainya,” katanya.

Anwar turut mengalu-alukan kehadiran Shamsul Azri sebagai KSN baharu dan percaya beliau boleh menaikkan prestasi perkhidmatan awam.

“Saya seru rakan-rakan beri kerjasama sepenuhnya keputusan-keputusan yang telah dibuat dan mengenai apa pun, termasuk pelantikan Perdana Menteri tak semestinya keputusan yang terbaik.

“Tetapi keputusan sudah diambil, apa yang kita perlu lakukan ialah tekad untuk melaksanakan amanah besar dan tawakal kepada Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN