PM Perancis mula runding bentuk kerajaan stabil

PM Perancis mula runding bentuk kerajaan stabil

MICHEL BARNIER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perdana Menteri baharu Perancis, Michel Barnier memulakan rundingan dengan semua pihak hari ini, untuk membentuk kerajaan yang mampu meraih majoriti di Parlimen selepas dua bulan negara itu berdepan kebuntuan politik.

Barnier, 73, dilantik sebagai Perdana Menteri tertua dalam sejarah moden Perancis menggantikan Gabriel Attal.

Beliau menekankan aspek pendidikan, keselamatan dan kawalan imigresen sebagai keutamaannya.

Pada masa sama, Barnier menegaskan tidak takut bercakap benar mengenai hutang kewangan negara dan berjanji akan membawa perubahan kepada Perancis.

Presiden Emmanuel Macron melantik Barnier selepas berminggu-minggu kebuntuan, ketika Perancis menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik, setelah gabungannya hilang majoriti mutlak dalam pilihan raya mengejut, Julai lalu.

Macron mengambil risiko membubarkan Parlimen pada Jun dan mengadakan pilihan raya selepas sayap kanan mengalahkan pakatannya dalam pilihan raya Eropah.

Pilihan raya itu menyaksikan pakatan berhaluan kiri muncul sebagai kuasa politik terbesar Perancis, tetapi masih gagal memperoleh majoriti mutlak.

Marine Le Pen, yang mengetuai Perhimpunan Nasional (RN), berkata partinya tidak akan menjadi sebahagian daripada Kabinet baharu Barnier.

Bagaimanapun, partinya menunggu ucapan dasar pertama Perdana Menteri itu di Parlimen untuk memutuskan sama ada akan menyokongnya atau tidak.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN