KOTA BHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan Datuk Seri Mohd. Supardi Md. Noor berkata, ia berpandukan kepada 14 Cabang parti itu di seluruh negeri.
Menurutnya, menerusi setiap Caban, PKR Kelantan akan mengemukakan sekurang-kurangnya satu DUN tumpuan.
“Ia bukan sahaja merangkumi politik, tetapi ekonomi serta sosial. Pada masa sama, kita juga akan melihat secara keseluruhan DUN.
“Perkara itu akan dilihat oleh Pengarah Pilihan Raya yang dilantik bagi mengenalpasti kerusi serta calon yang sesuai,” katanya pada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Kubang Kerian 2024 di Restoran Khalish, Pasir Tumboh di sini hari ini.
Mohd. Supardi membertahu, PKR Kelantan sudah memulakan gerak kerja awal untuk menghadapi PRU16 bermula sekarang.
Katanya, perbincangan bersama rakan-rakan dari parti komponen lain juga telah dilakukan bagi mengatur perancangan dan strategi untuk menghadapi PRU nanti.
“Kita akan bergerak sekarang, tidak boleh tunggu sehingga DUN dibubarkan baru hendak bincang tawaran dan calon dan sebagainya.
“Malah peralihan sokongan mula dapat kita lihat pada PRU sebelum ini dan ini adalah peluang besar untuk kita menawarkan sesuatu kepada rakyat Kelantan dan tawaran itu mestilah berpijak di bumi yang nyata,” ujarnya.
Mohd. Supardi berkata, PKR akan menumpukan perhatian kepada usaha menambah keahlian yang ketika ini sudah mencapai 68,000.
“Anggota parti perlu kuat dan kita memerlukan keanggotaan yang ramai di mana setiap Cabang perlu ada sekurang-kurangnya lebih 3,000 ahli
“Kita mahu buktikan kepada pihak atasan bahawa rakyat Kelantan berminat kepada PKR,” katanya.-UTUSAN