KOTA KINABALU: PKR akan kekal menggunakan logo sendiri mahupun logo Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding menggunakan logo sendiri tidak ada kaitan dengan PKR namun, PKR menghormati keputusan GRS untuk bertanding menggunakan satu logo.
Beliau berkata, kenyataan dua pemimpin GRS yang tidak membenarkan parti Malaya bertanding pada PRN Sabah adalah pandangan bersifat peribadi dan bukan pandangan GRS.
“Kami berpandangan kenyataan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan tidak mewakili GRS. Namun, kami berterima kasih kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor kerana menyatakan GRS akan terus bekerjasama dengan PH.
“Kami melihat kenyataan sebegitu cubaan untuk merenggangkan hubungan antara GRS-PH kerana ketika ini. Hubungan kita dengan semua rakan-rakan dalam keadaan baik sama ada dengan GRS dan Barisan Nasional (BN). Kita perlu menjaga hubungan baik ini supaya apa yang cuba dilaksanakan kerajaan berjalan lancar,” katanya semasa sidang akhbar PKR Sabah, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai kenyataan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Pandikar Amin dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengenai keputusan GRS untuk bertanding menggunakan satu logo dan tidak membenarkan parti selain daripada parti tempatan bertanding pada PRN akan datang.
Razeef yang Ketua Penerangan PKR Sabah turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa PKR baharu hendak menunggang isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perjuangan mengenai MA63 termaktub dalam Perlembagaan parti fasal 5.8 sejak awal penubuhan. Jadi, perjuangan mengenai MA63 bukan sesuatu yang baharu bagi PKR.
Dalam pada itu, beliau yakin Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri pada 12 September ini akan memberi berita baik kepada Sabah maka, kena tunggu hasil keputusan mesyuarat berkenaan.
Beliau yakin perkara yang termaktub dalam MA63 akan ditunaikan, justeru, Sabah tidak boleh terperangkap pada isu tuntutan hasil 40 peratus sekiranya nilainya tidak seperti apa yang diperoleh sekarang.
Mengulas lanjut katanya, PKR akan mengadakan Sidang Meja Bulat Keadilan Borneo yang akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin PKR Sabah dan Sarawak seperti Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi MPN PKR Sarawak, Roland Engan Baram.
Sementara itu, PKR akan turut menganjurkan Konvensyen Angkatan Muda Keadilan Zon Borneo pada 21 September depan. Ia akan dihadiri oleh semua pimpinan Angkatan Muda termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli dan Kamil Munim selaku Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan. – UTUSAN