PETALING JAYA: Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 perlu segera dipinda bagi memperkukuh dan memartabatkan bahasa Melayu di samping memberi kuasa kepada organisasi itu untuk mengambil tindakan jika wujud sebarang pelanggaran dalam penggunaan bahasa kebangsaan.
Itu merupakan salah satu daripada lima resolusi yang dirumuskan pada hari terakhir Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga di ibu negara, semalam.
Pengerusi Bersama simposium, Profesor Madya Dr. Jessica Ong berkata, lima resolusi itu bertujuan memperkasakan dan meletakkan bahasa Melayu pada landasan yang sesuai serta sepatutnya.
“Resolusi kedua adalah semua sektor perlu memainkan peranan termasuk kerajaan terutama dalam memperkasakan bahasa Melayu seterusnya menjadikannya sebagai bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi dan tidak rasmi.
Ketiga, sokongan dana yang lebih luas daripada kerajaan dan agensi berkaitan perlu disalurkan kepada program-program memperkasakan bahasa Melayu yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya di sini, semalam.
Menurut Jessica, dua lagi resolusi adalah sistem pendidikan sedia ada perlu mewajibkan bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi oleh semua pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Dan agensi penyiaran di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menggunakan bahasa Melayu yang tepat dan berkualiti tinggi dalam laporan berita, rencana dan semua program,” katanya.
Secara kesimpulannya, jelas beliau, memartabat dan memperkasa bahasa Melayu perlu mendapat sokongan dan dukungan daripada semua pihak merangkumi kerajaan, NGO dan rakyat sendiri. – UTUSAN