Pilih berhenti kerja demi jaga bapa terlantar - Utusan Malaysia

Pilih berhenti kerja demi jaga bapa terlantar

SARAH Najihah Ramlee memberikan susu khas kepada bapanya yang terlantar akibat serangan angin ahmar ketika ditemui di Flat Cempakapuri, Nilai, Seremban.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Demi bapa dikasihi yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar, pada bulan lalu, seorang anak sanggup memilih berhenti kerja kerana mahu memberi tumpuan menjaga bapanya itu.

Itulah pengorbanan tanpa ragu-ragu yang diambil Sarah Najihah Ramlee, 22, setelah memikirkan keadaan bapanya, Ramlee Harun l, 61.

Dia yang sebelum ini bekerja di sebuah pasar raya berkata, keputusan itu diambil kerana bapanya memerlukan penjagaan dan perhatian rapi sepanjang masa.

“Tanggungjawab ini perlu saya pikul mewakili adik beradik yang lain kerana ingin membalas pengorbanan besar bapa yang selama ini menjaga dan membesarkan kami adik beradik.

“Lagipun ia bukanlah satu bebanan bagi saya dan ini adalah kali kedua saya berpeluang menjaga orang tua saya.

“Dulu sewaktu ibu sakit, sayalah yang menjaga serta menguruskan ibu di hospital sewaktu berusia 16 tahun, sehinggalah ibu menembuskan nafas terakhir akibat barah,” katanya ketika ditemui di kediaman di Flat Cempakapuri, Nilai di sini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, rutinnya kini pada setiap pagi adalah menukar lampin pakai buang dan menyiapkan minuman susu khas buat bapanya.

“Bapa akan diberikan susu khas setiap tiga jam melalui tiub, kira-kira enam kali sehari bermula pukul 6 pagi sehingga 9 malam,” katanya.

Sarah Najihah bagaimanapun mengakui perbelanjaan mengurus untuk bapanya itu agak tinggi bagi mereka sekeluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan abang sulung yang bekerja kilang.

Katanya, susu khas yang dibeli pun hanya dapat bertahan tiga hari dan lebih RM700 diperlukan setiap bulan termasuk pembelian lampin pakai buang.

“Setakat ini, belum ada apa-apa bantuan diterima selain bantuan katil daripada pihak yang prihatin. Kami masih lagi dalam proses membuat permohonan bantuan daripada pihak berwajib,” katanya.

Orang ramai yang ingin me­nyumbang boleh berbuat demi­kian menerusi akaun bank Maybank 155171289708 ­milik Sarah Najihah Ramlee atau menghu­bunginya di nombor 0194785462.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya