Pesta Pantai Tanjung Bidara jadi acara tahunan

Pesta Pantai Tanjung Bidara jadi acara tahunan

AB. RAUF Yusoh melepaskan peserta acara tarik tali pada Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pesta Pantai Tanjung Bidara akan dijadikan acara tahunan sebagai antara program memeriahkan sambutan Hari Malaysia di Melaka, seterusnya mengembalikan kegemilangan pantai peranginan itu sekitar 1970.

Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri menetapkan ia bakal diadakan pada tarikh 13 hingga 15 September setiap tahun.

Beliau berkata, pesta yang menggamit kehadiran kira-kira 25,000 sejak Jumaat lalu menjadi sebahagian usaha untuk mempopularkan semula kawasan pantai berkenaan.

“Saya mahu menjadikan Pantai Tanjung Bidara sebuah kawasan tarikan pelancong yang cukup hebat pernah dilalui pada awal 70-an. Sambutan ini secara tidak langsung dapat memperhebat dan menghidupkan kembali kemeriahan di Tanjung Bidara, di samping mempromosi kawasan pelancongan luar bandar sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

“Saya akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk beberapa projek pembangunan baharu yang akan dibangunkan di pantai peranginan ini,” katanya selepas merasmikan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, projek pembangunan yang dalam perancangan dibangunkan bakal memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat terutama peniaga kecil dan pengusaha inap desa, bukan sahaja di Tanjung Bidara tetapi juga di Pantai Padang Kemunting dan Pengkalan Balak.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri bercadang menganjurkan pertandingan Kandungan Kreatif TikTok 2024 sempena TMM 2024 yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000.

“Kita akan tetapkan pelbagai kategori seperti dalam bentuk seni, budaya, makanan dan juga sejarah yang boleh dijadikan sebagai bahan baharu untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN