Pesara jururawat sumbang kemahiran, pengalaman kepada komuniti - Utusan Malaysia

Pesara jururawat sumbang kemahiran, pengalaman kepada komuniti

SERAMAI 15 orang ahli Kelab Pesara Jururawat Kesihatan Awam Negeri Sembilan bergambar kenangan selepas menyantuni penghuni Rumah Sejahtera Rembau, hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bersara selepas berkhidmat dalam bidang kejururawatan tidak menjadi penamat buat ahli Kelab Pesara Jururawat Kesihatan Awam Negeri Sembilan untuk memanfaatkan kemahiran dan pengalaman yang ada pada mereka buat masyarakat setempat.

Pengerusi kelab tersebut, S. Kalyani, 60, berkata, atas dasar itu, kelab tersebut telah ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu bagi menghimpunkan pesara-pesara jururawat untuk menjalankan pelbagai aktiviti buat masyarakat terutamanya kepada golongan warga emas serta pesakit terlantar. 

Menurutnya yang merupakan bekas ketua penyelia jururawat daerah di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah, idea berkenaan datangnya dari tiga bekas jururawat termasuk dirinya selepas menziarahi rakan yang sakit terlantar.

“Seperti hari ini tujuan kami adalah untuk menyantuni warga emas yang memerlukan perhatian. Walaupun bukan dalam tempoh yang lama tetapi cukup untuk memberikan sokongan psikologi kepada mereka.

“Kami seramai kira-kira 15 orang pesara jururawat turut mengajar senaman ringan yang membantu pengaliran darah selain menyampaikan sumbangan buat penghuni di sini,” katanya ketika ditemui di Rumah Sejahtera Rembau, di sini, hari ini.

Ujar Kalyani lagi, setakat ini kelab berkenaan mempunyai seramai 120 orang ahli yang bergerak mengikut kesesuaian masa kerana komitmen masing-masing.

“Walaupun kami sudah bersara, naluri kejururawatan tetap ada, di rumah kami masih beri khidmat kepada ibu bapa Walaupun sudah bersara, kami ingin beri sumbangan dan tidak mahu selepas bersara hanya duduk di rumah tanpa memberi sebarang khidmat,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Sejahtera Rembau, Ramesh Patel berkata, secara keseluruhannya terdapat 31 penghuni berusia 52 hingga 89 tahun di rumah kebajikan tersebut dengan seorang daripadanya terlantar dan empat lagi menggunakan kerusi roda.

Menurutnya, majoriti penghuni merupakan kes yang dirujuk oleh pihak hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ada juga oleh keluarga kerana tidak mempunyai kemampuan untuk menjaga ibu bapa masing-masing.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN