MELAKA: Kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembinaan projek perumahan baharu Madani di negeri ini tidak lama lagi.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, projek itu dapat memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki kediaman.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan berbincang secara khusus bagi mengenal pasti lokasi sesuai untuk pembinaan projek perumahan Madani yang pertama di Melaka.
“Kerajaan negeri amat prihatin untuk membina lebih banyak rumah mampu milik seperti berulang kali diperkatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
“Malah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) juga, Ab. Rauf turut memberi penekanan untuk membina lebih banyak projek perumahan rakyat dan rumah kos rendah.
“Kita berharap setiap rakyat di Melaka ada satu rumah milik sendiri dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk melakukannya,” katanya ketika ditemui selepas Program Bayi Merdeka Hospital Melaka di sini, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menyelar sikap sesetengah pihak yang membantah pembinaan projek perumahan rakyat bagi kumpulan B40 dan M40 yang merupakan golongan majoriti khususnya di ibu negara.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pembangunan di kawasan mewah, namun kepentingan majoriti rakyat tidak boleh diabaikan.
Tambah Rais, setiap pemaju yang ingin memajukan tanah milik kerajaan ataupun swasta perlu mengikut komponen ditentukan oleh Dasar Perumahan Negeri Melaka.
Tegasnya, pemaju mesti membina projek perumahan mampu milik dengan kos bernilai antara RM150,000 hingga RM250,000 dan rumah kos rendah bernilai RM70,000.
“Kita akan melihat di mana ruang yang boleh kita tambah baik seperti saranan Perdana Menteri yang mahu pembinaan projek perumahan rakyat bagi kumpulan B40 dan M40 tidak boleh diabaikan,” katanya. – UTUSAN