Pertembungan legenda Singa Utara, Malaysia gamit nostalgia - Utusan Malaysia

Pertembungan legenda Singa Utara, Malaysia gamit nostalgia

PARA legenda Perlis menjulang piala apabila muncul pemenang menewaskan legenda kebangsaan dalam perlawanan persahabatan legenda Perlis menentang legenda Malaysia di stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerinduan penyokong menyaksikan legenda bola sepak Malaysia dan Singa Utara terubat apabila bintang-bintang era tahun 1980 dan 1990-an itu beraksi dalam perlawanan persahabatan di stadium keramat, Tuanku Syed Putra di sini, semalam.

Perlawanan persahabatan bersempena Festival Kangar Unity anjuran Kelab Unity Kangar yang menampilkan legenda-legenda kebangsaan dan Perlis seperti Subadron Aziz, Azizon Kadir, Azizul Kamaludin, Khairul Anuar Baharom, Saidin Osman, Suhairi Karim, Adrien Jurad Chamrong dan ramai lagi itu berlangsung sengit yang menyaksikan Perlis menang 2-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi sebenar berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Perlawanan tersebut juga menyaksikan penampilan istimewa bekas pemain import sensasi Perlis tahun 1989 seperti Praduphan Jarunya yang juga penjaring terbanyak liga pada tahun berkenaan, Nakul Watana, Somkeat Fongpech dan Sanphong Sitthiphachirasakun.

Ribuan penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut ternyata terhibur menyaksikan aksi pemain kegemaran mereka yang masih lincah di atas padang.

AKSI pemain dalam perlawanan persahabatan antara legenda Perlis menentang legenda Malaysia di stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Pengerusi Kelab Unity Kangar, Zakri Hassan berkata, perlawanan itu secara tidak langsung telah mengembalikan nostalgia bola sepak era 80 dan 90-an dengan kebanyakkan pemain sebenarnya masih boleh beraksi dengan baik dan bersemangat meskipun ada antara mereka yang sudah berusia lebih 60 tahun.

Katanya, beliau melihat pemain-pemain ini masih boleh beraksi dengan cukup baik dan tenang di padang sekali gus boleh dipelajari oleh golongan muda.

“Insya-Allah melihat kepada kejayaan perlawanan tersebut, mungkin akan diadakan lagi perlawanan seperti itu pada masa depan seperti legenda Perlis bertemu legenda Selangor atau sebagainya.

“Perlawanan tersebut telah mengembalikan nostalgia penyokong dan rakyat negeri ini khususnya untuk melihat bintang kesayangan mereka kembali beraksi di atas padang,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, legenda Perlis dan Kuala Lumpur, Saidin berkata, dia begitu teruja dapat berjumpa dan berkumpul semula dengan rakan-rakan lama menerusi perlawanan berkenaan.

Katanya, perlawanan tersebut juga mengembalikan nostalgianya beraksi di stadium keramat ini antara tahun 1994 sehingga 1996 yang ketika itu stadium berkenaan sentiasa dipenuhi penyokong Singa Utara.

“Bila berkumpul seperti ini, rasa cukup seronok. Perlis atau Singa Utara juga sentiasa di hati saya meskipun saya banyak mengecapi kejayaan bersama Kuala Lumpur termasuk menjuarai tiga kali Piala Malaysia.

“Dalam masa sama, saya juga percaya bola sepak Perlis mampu bangkit semula seperti dahulu kerana Perlis sebenarnya mempunyai bakat atau akar umbi yang cukup berbakat besar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya