PETALING JAYA: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengutuk dan mengecam serangan kejam yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap tanah Lubnan sehingga mengakibatkan kematian serta mencederakan ramai orang awam yang tidak bersalah selain kemusnahan infrastruktur asas.
Setiausaha Agungnya, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, tindakan itu jelas merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, serta mendedahkan wajah sebenar rejim penjajahan yang zalim.
Menurutnya, serangan yang dilancarkan itu dengan jelas bertujuan untuk mengganggu keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.
“PUM menyeru pemimpin antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia agar segera bertindak bagi menghentikan jenayah ini serta memastikan rejim zionis dipertanggungjawabkan atas tindakan zalim mereka. Tindakan tegas mesti diambil bagi melindungi rakyat yang tertindas di Lubnan dan Palestin.
“ Di samping itu, PUM menuntut sekatan yang sewajarnya dikenakan ke atas rejim Zionis akibat pencabulan berterusan mereka terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, serangan udara tentera Israel ke atas Lebanon mengorbankan sekurang-kurangnya 492 orang semalam termasuk 35 kanak-kanak.
Israel berkata, mereka membunuh ‘sebilangan besar’ anggota pejuang Hizbollah apabila menyasarkan kira-kira 1,600 lokasi di selatan dan timur Lebanon.
Pada masa sama, Mohd. Roslan berkata, PUM mengiktiraf usaha gigih dan peranan heroik yang dimainkan oleh gerakan penentangan Lubnan dalam perjuangan mereka menyokong rakyat Palestin.
Katanya, kesepaduan yang terjalin antara gerakan penentangan Lubnan dan Palestin memberi mesej yang jelas bahawa umat Islam tidak akan sekali-kali membiarkan Gaza berjuang sendirian di medan pertempuran.
“PUM menyeru semua negara Islam dan rakyat yang mencintai keadilan agar memperkukuh kerjasama dalam menyokong penentangan terhadap rejim zionis, serta terus memberi bantuan kepada mereka yang tertindas di Lubnan dan Palestin.
“Kesatuan dan solidariti di kalangan umat Islam adalah kunci utama dalam memastikan keadilan ditegakkan dan kebebasan dicapai untuk semua yang ditindas.
“Mari kita berdoa kepada Allah SWT agar melindungi saudara-saudara kita di Lubnan dan Palestin, serta memberi kekuatan kepada mereka yang berjuang demi kebenaran dan kebebasan. Semoga keamanan dan keselamatan kembali meliputi seluruh dunia Islam,” katanya.