Perlu penglibatan gerai, restoran jayakan Kempen Perangi Gula - Utusan Malaysia

Perlu penglibatan gerai, restoran jayakan Kempen Perangi Gula

ANWAR Ibrahim menunjukkan kemahiran membuat teh tarik pada Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024, Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) dan Kempen Perangi Gula - War On Sugar di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Penglibatan pengusaha gerai, restoran, medan selera, katerer dan hotel di negara ini amat diperlukan supaya usaha kerajaan menerusi Kempen Perangi Gula bagi mengurangkan kadar pengambilan gula dalam kalangan rakyat adalah lebih berkesan.

Ia selepas hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kadar pengambilan gula yang tinggi oleh rakyat Malaysia, terutamanya melalui minuman manis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar itu memang membimbangkan justeru beliau mencadangkan supaya pemantauan turut dilakukan di gerai-gerai yang menjual produk atau perkhidmatan berasaskan gula.

Jelasnya, di peringkat jabatan kerajaan sudah ditetapkan untuk mengurangkan kadar pengambilan gula sebanyak 50 peratus membabitkan sajian kuih-muih.

“Nak makan, makan, tak makan sudah sebab kita fikirkan keselamatan kesihatan. Ini yang kita katakan kecelikan kesihatan, literasi kefahaman masyarakat, apa itu erti kesihatan, apa itu erti pendidikan.

“Beritahu rakyat, penyakit kencing manis ini nombor satu (Malaysia) rekod di Asia. Ini menunjukkan tidak ada kecelikan kesihatan, kita selamatkan negara kita, selamatkan anak-anak kita, ibu bapa dengan kawal (pengambilan gula) bukan suruh hentikan terus.

“Saya ingin tegaskan kempen ini hanya akan berkesan kalau mulai sekarang, semua gerai-gerai menjual, saya ingat kita kena pantau sekarang kalau beri gula untuk minuman yang berlebihan, ia saudara saudari meniaga untuk keluarga, kebajikan keluarga tetapi jangan korbankan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024, Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) dan Kempen Perangi Gula – War On Sugar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Perdana Menteri menambah, menerusi kecelikan kesihatan dalam kalangan rakyat, ia juga akan membantu dalam mengatasi isu kesesakan di hospital.

“Kalau sakit, biar kita bertanggungjawab, saya tengok Hospital Kajang sampai kat lobi, beratur-ratur katil. Saya terus WhatsApp dekat Dr. Dzul (Dzulkefly Ahmad) tetapi beliau pun ada batas, peruntukan kewangan yang ada sekarang.

“Belanja sudah tinggi dan pesakit kian ramai. Ada langkah-langkah diambil KKM untuk mengurangkan tetapi kalau kita ada kecelikan kesihatan kesesakkan di hospital boleh dielakkan,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, data NHMS tahun 2023 menunjukkan dapatan yang agak membimbangkan iaitu satu daripada dua dewasa bersamaan 54.4 peratus mempunyai berat badan berlebihan di Malaysia.

Menurutnya, manakala, satu daripada enam (15.6 peratus) dewasa menghidap kencing manis dan empat daripada lima (84 peratus) dewasa yang berusia 18 hingga 29 tahun pula tidak tahu mereka menghidap kencing manis.

DLKK merupakan sebuah inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2020–2030 yang merupakan langkah strategik kerajaan dalam usaha meningkatkan tahap literasi kesihatan (celik kesihatan) rakyat Malaysia ke arah pembudayaan hidup sihat, seterusnya membendung kejadian penyakit dari terus meningkat. 

Menerusi Kempen Perangi Gula pula selain semua agensi kerajaan mengurangkan 50 peratus gula dalam hidangan pada setiap majlis dan mesyuarat yang diadakan serta pengurangan gula dalam sajian di restoran, gerai dan hotel, wakil rakyat juga perlu menggerakkan kempen mengurangkan gula di kawasan masing-masing.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN