Perlis hasilkan 1,250 tan benih padi sendiri menjelang tahun depan - Utusan Malaysia

Perlis hasilkan 1,250 tan benih padi sendiri menjelang tahun depan

RAZALI Saad (dua dari kanan) pada majlis penuaian padi dan program peningkatan pengeluaran di Kampung Semadang, Padang Besar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Perlis dijangka menghasilkan sebanyak 1,250 tan metrik atau 62,500 beg benih padi sendiri menjelang tahun depan sekali gus mampu membantu menampung keperluan lebih 32 peratus bekalan di negeri ini.

Kewujudan ladang benih padi di kawasan seluas 500 hektar melibatkan penglibatan 10 buah kampung yang akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri itu sekali gus membantu mengatasi masalah bekalan benih padi di Perlis.

Pada peringkat permulaan atau perintis itu, ladang benih berkenaan telah dilaksanakan di Kampung Semadong di sini yang melibatkan kawasan seluas 50 hektar dengan pembabitan seramai 42 peserta.

Keluasan berkenaan mampu menghasilkan kira-kira 125 tan metrik benih musim ini.

Projek perintis tersebut dilaksanakan Ketua Unit Kampung Semadong dengan kerjasama Jabatan Pertanian negeri, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

Keperluan benih padi di Perlis adalah sebanyak 3,803 tan metrik atau 190,162 beg membabitkan keluasan 27,166 hektar kawasan tanaman padi di dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, projek ladang benih padi di Kampung Semadong tersebut adalah perintis di negeri ini yang diberi keutamaan dilaksanakan di luar kawasan MADA.

Katanya, ladang benih yang lain akan dilaksanakan secara berperingkat di beberapa kawasan lain dengan perintis di Kampung Semadong ini dengan keluasan 50 hektar.

Selain di Semadong katanya, ladang benih tersebut akan dilaksanakan di Padang Siding, Mata Ayer, Bintong, Paya dan beberapa lagi kawasan lain di negeri ini.

“Kewujudan ladang benih ini secara tidak langsung akan membantu mengurangkan masalah kekurangan bekalan benih yang sering kali membelenggu pesawah pada setiap musim khususnya musim kedua,” katanya ketika ditemui selepas majlis penuaian padi dan program peningkatan pengeluaran di Kampung Semadong di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman: Pengarah LPP negeri, Roshida Ahmad: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun dan Ketua Unit Semadong, Che Fariz Izani Che Ya.

Tambah Razali, kelaziman, pada musim kedua penanaman padi akan berlaku masalah kekurangan bekalan benih padi.

“Namun dengan kewujudan ladang benih ini antara langkah yang kita laksanakan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan benih padi ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Razali memberitahu, sebanyak 432.9 hektar sawah melibatkan 256 pesawah dalam kawasan luar dan dalam MADA di negeri ini terjejas berikutan sawah tenggelam serta padi rebah ekoran banjir tersebut.

Katanya, Ia menyebabkan pesawah mengalami kerugian sehingga mencecah RM3.5 juta.

“Kalau kita lihat daripada laporan Jabatan Meteorologi dalam bulan Oktober ini akan berlaku lagi banjir dan ia sekali gus bakal menyebakan lagi risiko padi tenggelam ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN