KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului senarai 763 penerima darjah kebesaran bintang, pingat dan surat kepujian sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Balai Istana Besar, di sini hari ini.
Anwar dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) membawa gelaran Datuk.
Sultan Muhammad V seterusnya berkenan mengurniakan Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) membawa gelaran Datuk kepada Pengerusi Eksekutif Apex Equity Holdings Berhad Datuk Wira Farhash Wafa Salvador dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhibbah Security Sdn Bhd Datuk Mohd Khidir Yaacob.
Seterusnya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Leftenan Jeneral Datuk Zulkeffeli Mat Jusoh menjadi penerima tunggal bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.
Istiadat diikuti penganugerahan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) membawa gelaran Datuk kepada tiga penerima iaitu Pegawai Kewangan Negeri Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Profesor Jabatan Al-quran Dan Al-hadith Universiti Malaya Datuk Dr. Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff dan Pengarah Tanah Dan Galian Kelantan Datuk Rosnazli Amin.
Seterusnya tiga penerima bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK) membawa gelaran Datuk di anugerahkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Komisioner Jeneral Penjara Datuk Seri Nordin Muhamad dan Bekas Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.
Selain itu, Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York Datuk Dr Ahmad Faisal Muhammad, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ir Dr. Ahmad Anuar Othman dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood atau Johan Mahmood Merican dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) membawa gelaran Datuk.
Seramai 10 individu menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) membawa gelaran Datuk, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan Dan Komoditi Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail serta
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Wan Roslan Wan Hamat.
Pada masa sama, Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) juga membawa gelaran Datuk turut dikurniakan kepada lima penerima termasuk Pengarah Rejimen Artileri Diraja Brigadier Jeneral Datuk Norazman Ismail dan Panglima Markas Briged Kelapan Infantri Kem Pengkalan Chepa Brigadier Jeneral Muzamil Ali.
Turut membawa gelaran Datuk adalah Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang dikurniakan kepada lapan penerima antaranya Hakim Mahkamah Tinggi 1 Kota Bharu Datuk Azmi Abdullah, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia Hazri Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam Mohd. Anis Hussien.
Sementara itu, Bekas Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Sheikh Azhar Sheik Omar menjadi penerima tunggal Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) membawa gelaran Datuk.-UTUSAN