Percubaan kelima berhasil, Ishiba bakal PM baharu Jepun

Percubaan kelima berhasil, Ishiba bakal PM baharu Jepun

SHIGERU Ishiba (tengah) meraikan kemenangannya sebagai ketua baharu parti pemerintah, LDP di Tokyo, hari ini.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Bekas Menteri Pertahanan Jepun, Shigeru Ishiba bakal dilantik sebagai Perdana Menteri baharu selepas memenangi persaingan sengit dalam percubaan kelima dan terakhir untuk memimpin Parti Liberal Demokratik (LDP).

Ishiba, 67, menewaskan Menteri Keselamatan Ekonomi, Sanae Takaichi dalam pusingan akhir undian, menerusi pemilihan kepemimpinan paling tidak dijangka dengan sembilan calon bertanding.

“Kita mesti percaya kepada rakyat, bercakap benar dengan keberanian dan keikhlasan serta bekerjasama untuk menjadikan Jepun sebuah negara yang selamat dan terjamin,” kata Ishiba dalam ucapan ringkas penuh emosi selepas keputusan diumumkan.

Ishiba kini menggalas tanggungjawab meredakan kemarahan rakyat Jepun terhadap kenaikan kos sara hidup dan menangani persekitaran keselamatan yang tidak menentu di Asia Timur, didorong oleh tindakan China serta ancaman nuklear Korea Utara.

Pendekatannya terhadap diplomasi dengan sekutu terdekat Jepun, Amerika Syarikat (AS) akan menjadi tumpuan memandangkan beliau kerap menggesa untuk hubungan yang lebih seimbang.

Dalam kempennya, Ishiba mencadangkan pembentukan NATO Asia, idea yang mungkin mencetuskan kemarahan Beijing dan ditolak pegawai kanan AS sebagai tergesa-gesa.

Ishiba memasuki Parlimen pada 1986 selepas kerjaya singkat dalam perbankan, tetapi pendiriannya yang lantang menyebabkan beliau menjadi musuh dalam LDP.

Beliau diketepikan oleh Kishida dan menjadi suara sumbang dalam parti yang mendapat sokongan meluas daripada orang awam dan ahli berpangkat.

Perebutan untuk menggantikan Perdana Menteri semasa, Fumio Kishida bermula pada Ogos apabila beliau mengumumkan hasrat meletak jawatan susulan beberapa skandal yang menyebabkan penilaian LDP merosot ke tahap terendah.

Pemimpin LDP, yang memerintah Jepun hampir semua era pasca perang, secara asasnya akan dilantik sebagai Perdana Menteri kerana majoritinya di Parlimen.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN