Penyusunan semula empat mata pelajaran tahap 1 mudahkan guru laksana PdP - Utusan Malaysia

Penyusunan semula empat mata pelajaran tahap 1 mudahkan guru laksana PdP

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan pada sidang akhbar khas berhubung Intervensi Kurikulum di Kementerian Pendidikan, Putrajaya di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Inisiatif pengurangan kepadatan kurikulum bagi empat mata pelajaran di tahap 1 sekolah rendah sehingga 50 peratus telah membantu memudahkan tugas guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, empat mata pelajaran berkenaan iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris telah terbabit dalam penyusunan semula Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan
2017) Edisi 3.

Beliau berkata, penyusunan semula mata pelajaran bermula Mac lalu itu dilaksanakan bagi memudahkan murid-murid memahami semua standard pembelajaran yang dikehendaki dalam kurikulum berkenaan.

“Kita telah mengambil langkah proaktif dengan menyusun semula empat mata pelajaran ini lebih awal bagi memudahkan murid-murid.

“Dokumen penjajaran ini bukan sahaja disediakan dalam bahasa Melayu tapi turut diterjemah dalam bahasa Mandarin, Inggeris dan Tamil untuk memenuhi keperluan murid di sekolah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, selari dengan pengurangan kepadatan ini, pihaknya juga telah melaksanakannya dengan bahan sokongan yang dikenali sebagai modul bimbingan (MOBIM) untuk keempat-empat matapelajaran itu.

Azman berkata, guru boleh menggunakan cadangan aktiviti PdP dalam MOBIM untuk menyediakan perancangan PdP mengikut kesesuaian latar belakang, persekitaran dan tahap penguasaan murid.

Menurutnya, guru perlu memastikan murid dapat menguasai kemahiran paling minimum bagi tajuk-tajuk sukar ini supaya tiada keciciran pembelajaran berlaku.

“Selain itu, guru juga mempunyai autonomi merancang dan menyusun kandungan kurikulum dengan mengambil kira latar belakang murid, persekitaran dan sumber yang ada bagi mengoptimumkan keberhasilan pembelajaran murid.

“Autonomi guru merujuk kepada hak dan tanggungjawab untuk menentukan pelaksanaan kurikulum. Malah, guru diberikan kebebasan untuk melaksanakan kurikulum serta PdP dalam bilik darjah dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) atau Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3,” katanya.

Ditanya perkembangan dan hasil pelaksanaan DSKP itu, Azman berkata, tinjauan mendapati, 18,000 daripada 20,000 guru menggunakan dokumen penjajaran itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN