Penyeludup lari tinggalkan 12 ekor lembu di tebing Sungai Golok

Penyeludup lari tinggalkan 12 ekor lembu di tebing Sungai Golok

ANGGOTA ATM memeriksa lembu yang dirampas dalam serbuan di tebing Sungai Golok, Tanah Merah, Kelantan,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Dua penyeludup lari lintang-pukang meninggalkan 12 ekor lembu bernilai RM60,000 di tebing Sungai Golok di sini selepas diserbu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini semalam.

Serbuan pukul 1.15 pagi itu dilakukan semasa anggota ATM melakukan rondaan rutin di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd)

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata, semasa rondaan dijalankan sepasukan anggota ATM telah terserampak dua lelaki sedang menyeludup haiwan berkenaan.

Katanya, sejurus menyedari kehadiran anggota ATM kedua-dua lelaki tersebut terus melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke Thailand.

“Seorang lagi lelaki yang dipercayai bersubahat dengan kegiatan tersebut juga melarikan diri menaiki sebuah trak pikap ke arah jalan utama.

“Pemeriksaan di lokasi itu kemudian menjumpai sebanyak 12 ekor lembu seludup bernilai hampir RM60,000 ditinggalkan mereka,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan mendapati, kesemua haiwan itu dibawa masuk dari Thailand dengan merentasi kawasan Sungai Golok yang cetek.

Katanya, sehubungan itu, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung rampasan haiwan ternakan tersebut selain maklumat berkaitan trak pikap dinaiki suspek di Balai Polis Lalang Pepuyu di sini.

“Kesemua rampasan lembu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) manakala kes penyeludupan itu disiasat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga.

“Kes itu merupakan rampasan haiwan ternakan yang kedua berlaku di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia pada bulan ini,” ujarnya.

Kenyataan itu turut berkata, rampasan pertama pada bulan ini berjaya dipatahkan dengan merampas sembilan ekor lembu dan seekor kerbau pada 4 September lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN