Penyelesaian menang-menang dicari selesai isu 'khemah biru' Telok Kemang

Penyelesaian menang-menang dicari selesai isu ‘khemah biru’ Telok Kemang

NICOLE Tan Lee Koon (kiri) mengunjungi ruang pameran pada Majlis Perasmian MATTA Fair 2024 Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada sebarang keputusan mendadak akan diambil kerajaan negeri berhubung isu kawasan Pantai Telok Kemang di Port Dickson yang dibanjiri pemasangan ‘khemah biru’ sehingga menjejaskan pemandangan pantai peranginan tersebut.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, langkah penyelesaian terbaik tetap akan diambil termasuk mengambil kira kumpulan pengusaha yang telah menjalankan perniagaan di situ.

“Beberapa bulan lalu kerajaan negeri sudah tetapkan tiga pantai awam tidak dibenarkan membuka khemah itu pun sudah terima pelbagai kritikan.

“Sekarang ini kami tidak boleh membuat satu keputusan yang mendadak berkenaan khemah di Telok Kemang, kita perlukan sedikit masa untuk selesaikan masalah ini. Apa pun dalam masa terdekat semua pengusaha akan dipanggil untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024 Negeri Sembilan di sini hari ini.

Nicole Tan berpandangan lagi, perbincangan secara sepakat perlu diadakan bagi mendapatkan satu keputusan menang-menang.

“Ini kerana kebanyakan pengusaha di situ sudah lama beroperasi dan menjalankan perniagaan di situ. Kami akan buat sedikit perbincangan dengan mereka sekali gis melihat bagaimana kita dapat selaraskan perkara ini supaya tidak mencemarkan pemandangan dan kelihatan lebih teratur,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, ejen-ejen pelancongan perlu bersama dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini. 

“Kerajaan negeri mengharapkan semua ejen pelancongan dapat membantu dan bersama-sama membangunkan sektor pelancongan secara aktif dan membina ekosistem yang dapat menarik kedatangan pelancong ke Negeri Sembilan,” katanya yang turut berpandangan produk-produk pelancongan di negeri ini kurang diberikan pendedahan yang meluas.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya