KUANTAN: Kegembiraan lima sahabat beriadah di kawasan perkelahan Pasir Puteri, Sungai Lembing di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dihanyutkan arus ketika cuba menyelamatkan dua rakannya yang hampir lemas.
Mayat mangsa, Muhammad Amirul Fahmie Saiful 18, berasal dari Maran, dekat sini ditemukan kira-kira 25 meter dari lokasi kejadian kira-kira pukul 12.12 tengah hari hari ini.
Mangsa yang selamat, Nur Shaheera Farhanis Mohammad Shahfiri, 19, dari Chengal Lempung Baru 2, dan Nur Liana Atirah Roslan, 19, dari Bandar Pusat Jengka.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa dan rakan-rakannya merupakan penuntut Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP).
Menurutnya, mereka terlebih dahulu mendaki Bukit Panorama di Sungai Lembing sebelum ke kawasan perkelahan untuk mandi-manda kira-kira pukul 8.30 pagi hari ini.
“Berdasarkan laporan, ketika berada di tapak perkelahan tersebut, mangsa dan rakan-rakannya mandi di kawasan lubuk dengan jarak kira-kira lima meter dari tebing dengan kedalaman 1.5 meter.
“Ketika mangsa dan rakan-rakannya sedang mandi salah seorang rakan perempuan mangsa dihanyutkan air dan hampir lemas.
“Menyaksikan kejadian itu seorang lagi rakan perempuannya yang lain turut berenang untuk memberikan pertolongan namun kedua-duanya dihanyutkan air,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zahari berkata, sebelum mangsa hilang, dia bertindak menyelamatkan kedua-dua rakan itu.
Katanya, kedua-dua rakan mangsa yang berjaya diselamatkan itu dibawa ke tepi tebing sungai oleh orang dua lagi rakan lelaki yang menyaksikan kejadian itu.
“Dalam keadaan yang berlaku begitu pantas itu dua lagi rakan mangsa yang lain sempat membantu memberikan pertolongan cemas di tebing sungai. Kemudiannya rakan-rakan lelaki mangsa menoleh ke arah mangsa dan mendapati dia telah hilang dan dikhuatiri dihanyutkan arus,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya yang mendapat panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.30 pagi segera bertindak ke lokasi kejadian. – UTUSAN