Penuntut IPT laksanakan tanggungjawab, pulang mengundi - MB - Utusan Malaysia

Penuntut IPT laksanakan tanggungjawab, pulang mengundi – MB

ONN HAFIZ Ghazi (empat dari kanan) dan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah bergambar dengan sebahagian daripada penuntut IPT semasa melakukan 'walkabout' di Taman Berlian, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Semua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) diminta membuat perancangan awal untuk pulang bagi menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kepulangan penuntut IPT serta semua pengundi di DUN Mahkota amat bermakna kerana mereka merupakan sebahagian daripada 66,318 pemilih berdaftar di situ yang akan menentukan wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.

“Semua sedia maklum pada 28 September nanti adalah hari pengundian untuk menentukan siapa yang akan menjadi wakil rakyat di DUN Mahkota ini. 

“Saya dengan ini merayu kepada semua belia serta penuntut IPT agar dapat balik menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih calon nombor satu, iaitu daripada Barisan Nasional (BN(, Syed Hussien Syed Abdullah,” katanya menyampaikan pesanan kepada sekumpulan penuntut IPT yang menyertai ‘walkabout’ beliau ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Berlian, di sini.

Sebanyak 48 peratus daripada keseluruhan 66,318 pengundi di DUN Mahkota terdiri pengundi muda berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Pada PRK itu, Syed Hussien yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar atau lebih dikenali  sebagai ‘Coach Haizan’.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Sharifah Azizah memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN