TANGKAK: Seorang lelaki maut, manakala tunangnya cedera apabila motosikal yang dinaiki melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 162.7, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ke arah Utara malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib, kemalangan berlaku kira-kira pukul 10 malam apabila pasangan tersebut yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari Kluang menghala ke Tangkak.
“Setibanya di tempat kejadian, dipercayai motosikal berkenaan yang telah mengekori rapat sebuah lori telah terlanggar bahagian belakang lori itu lalu terbabas. Akibatnya, seorang lelaki berusia 24 tahun dan pemboncengnya seorang wanita berusia 21 tahun dipercayai tunangnya telah dikejarkan ke Hospital Tangkak menggunakan ambulans
“Penunggang motosikal telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tangkak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim menerusi talian 011-12445836. – UTUSAN