KOTA BHARU: Seorang penjual air balang yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dengan mencabul anak angkat perempuannya pada tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 45 tahun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Zulkifli Abllah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual dengan mencabul anak angkat perempuannya yang berusia 12 tahun 10 bulan ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan semasa tertuduh menunggang motosikal di Kampung Bechah Hangus dan Jalan Rangkal Kuang-Banggol Lepah, Ketereh di sini selain di sebuah rumah di Kampung Guntong dekat sini.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan olehnya pada Oktober tahun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh dikhuatiri akan mengganggu mangsa.
Mohd. Firdaus kemudian memohon satu ikat jamin yang minimum kerana anak guamnya merupakan penanggung tunggal kepada isteri dan tiga orang anak dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,500 sebagai peniaga air balang.
Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu melapor diri setiap bulan di Balai Polis Kok Lanas di sini selain menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.-UTUSAN