Penjenayah ditembak mati polis miliki 26 rekod jenayah - Utusan Malaysia

Penjenayah ditembak mati polis miliki 26 rekod jenayah

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Penjenayah yang maut ditembak polis dalam kejadian di Kampung Baru Kundang, Rawang pada awal pagi tadi dikesan mempunyai 26 rekod jenayah lampau.

Dalam kejadian pukul 1.15 pagi itu, suspek warga tempatan berusia lewat 30-an yang aktif terlibat dalam kes pecah kedai di kawasan Damansara dikesan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setibanya di lokasi kejadian, mereka terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang dipandu oleh suspek berkait kes yang disiasat.

“Dalam kejadian tersebut, suspek enggan memberhentikan kereta lalu bertindak mengundur secara laju dan sangat merbahaya lalu merempuh kenderaan milik pasukan polis termasuk milik orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Ekoran daripada itu, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri ke arah kenderaan suspek dan mengakibatkan kereta yang dipandu suspek terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek yang terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau membabitkan 17 kes jenayah dan narkotik (sembilan).

“Suspek ini juga mempunyai 10 rekod kes pecah rumah membabitkan premis kediaman dan kedai serta pernah dikenakan tindakan di bawah kesalahan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) Seksyen 15 (d),” jelasnya.

Ujar Hussein, pihaknya turut merampas beberapa peralatan pecah rumah yang ditemui dalam kenderaan suspek.

“Antara yang dirampas adalah tiga bila parang masing-masing berukuran 84 sentimeter (cm), 46cm dan 75cm; satu pemotong warna hitam berukuran 90cm, satu batang besi berukuran 94cm, dan satu kapak besi berukuran 50cm.

“Turut dirampas sebatang kuku kambing berukuran 52cm, satu pemotong, alat kikisan cat,” ujarnya.

Kata Hussein, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

“Pihak polis juga sedang mengesan beberapa ahli kumpulan suspek yang masih bebas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN