Peniaga rugi RM200,000 tertipu pelaburan tak wujud - Utusan Malaysia

Peniaga rugi RM200,000 tertipu pelaburan tak wujud

ORANG ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam yang singkat./ Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Taktik ‘scammer’ yang menawarkan skim pelaburan dengan keuntungan luar biasa dalam tempoh singkat diketahui umum, namun masih ada yang terjerat dalam perangkap tersebut.

Terbaru, seorang peniaga makanan di daerah ini mengalami kerugian RM200,000 akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan sebanyak RM100,000 dalam masa dua hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Dr. Mohd. Roslan Mohd. Tahir berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 46 tahun semalam yang mendakwa menjadi mangsa penipuan.

Mangsa mendakwa ternampak iklan skim pelaburan dalam media sosial Facebook yang menawarkan keuntungan RM100,000 dalam masa dua hari sekiranya melabur RM10,000.

“Mangsa dikatakan hanya perlu membuat bayaran ke akaun yang diberikan dan menunggu pulangan wang. Mangsa tertarik dengan kaedah yang mudah dan komisen yang tinggi serta cepat.

“Mangsa telah membuat lima transaksi pembayaran antara 3 September hingga Ahad lalu ke dalam akaun sebuah syarikat keseluruhannya berjumlah RM200,000 untuk mendapatkan keuntungan yang banyak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mangsa mula berasa ditipu apabila masih tidak menerima apa-apa keuntungan hingga kini, malah suspek memintanya membuat bayaran tambahan dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak memberikan keuntungan yang dijanjikan.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan meliputi pembabitan keldai akaun, sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang menjanjikan komisen tinggi dalam masa singkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN