Peniaga pasar malam Perlis wajib tutup perniagaan untuk solat Maghrib - Utusan Malaysia

Peniaga pasar malam Perlis wajib tutup perniagaan untuk solat Maghrib

SEMUA peniaga pasar malam di Perlis diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan mereka semasa waktu Maghrib bagi menghormati dan menunaikan solat berkenaan berkuat kuasa pada 15 September ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Semua peniaga pasar malam di Perlis diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan mereka semasa waktu Maghrib bagi menghormati dan menunaikan solat berkenaan berkuat kuasa pada 15 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, keputusan berkenaan adalah selaras dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang bersidang pada 21 Ogos lalu yang bersetuju untuk melaksanakan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’

Katanya, ia juga sebagai satu inisiatif memperkasakan kempen Hayya Ala-Solah’, melalui program ini dengan semua peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan di pasar malam diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan semasa waktu Maghrib bagi menghormati waktu solat.

“Program ini akan berkuat kuasa bermula pada 15 September hadapan di semua tapak pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta di seluruh negeri.

“Tempoh pelaksanaan program bermula 10 minit sebelum masuk waktu dan 10 minit selepas masuk waktu Maghrib bagi membolehkan para peniaga dan pengunjung untuk menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.

“Solat boleh dilaksanakan di masjid atau surau berdekatan atau di lokasi yang disediakan oleh pihak penganjur tapak pasar malam berkenaan selain mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai oleh peniaga,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, bagi sebahagian kecil peniaga bukan Islam yang berniaga di pasar malam, mereka turut digalakkan untuk menutup perniagaan sepanjang tempoh berkenaan,

Namun katanya, tiada sebarang halangan jika mereka mahu meneruskan aktiviti perniagaan.

“Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan pengunjung pasar malam yang beragama Islam supaya tidak membeli-belah ketika masuknya waktu solat Maghrib selain mendidik rakyat menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkan solat,” katanya.

Katanya lagi, pada peringkat permulaan sebagai langkah mendidik masyarakat, anggota penguat kuasa PBT akan turun padang bagi memastikan kejayaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ ini dengan memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya