Peniaga kesal surau kecil mahu diroboh - Utusan Malaysia

Peniaga kesal surau kecil mahu diroboh

ABD. Latif Alias (kiri) bersama peniaga ketika ditemui di surau di pekan Chengkau, Rembau.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Peniaga dan penduduk di kawasan pekan Chengkau, di sini, kesal apabila kemudahan surau berusia lebih 20 tahun di situ bakal diroboh tidak lama lagi.

Seorang peniaga kedai makan, Rosdi Ismail, 63, berkata, dia sudah 10 tahun berniaga di pekan tersebut dan sentiasa memanfaatkan kemudahan surau di situ untuk menunaikan solat.

Katanya, walaupun tanpa bekalan elektrik, kemudahan itu sentiasa digunakan peniaga dan orang awam yang singgah untuk bersolat.

“Jadi memang harapan kami agar kemudahan ini dapat dikekalkan. Kami turut menjaganya selama ini termasuk ada yang bermurah hati menukar pintudan mengecat Kembali surau kecil ini.

“Penduduk juga mahu membaik pulih bumbung yang bocor, kalau mahu membaik pulih kami setuju tetapi kalau mahu roboh di mana lagi sesuai untuk kami solat kerana ruang kedai kami kecil,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi peniaga, Saari Che Mat, 62, berkata, kemudahan surau tersebut memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh peniaga setempat.

“Dua minggu lalu baru kami tahu surau ini mahu dirobohkan. Memang terkejut sebab surau yang terletak di depan kedai saya ni memang sering digunakan, ramai yang singgah solat di sini walaupun surau ni kecil.

“Semasa bulan Ramadan lalu, ramai yang turut solat di sini sebab ada bazar Ramadan. Surau ini boleh muat lapan orang pada satu-satu masa, saya memang tidak setuju dirobohkan jika ia tidak diganti dengan kemudahan surau yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lada, Abd. Latif Alias berkata, pihaknya sudah mengemukakan bantahan untuk merobohkan surau berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beharap keputusan merobohkan surau berkenaan dapat dipertimbangkan semula.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya