Peniaga didakwa kemuka dokumen palsu lebih RM24,000 - Utusan Malaysia

Peniaga didakwa kemuka dokumen palsu lebih RM24,000

FAZLIZAL Kefli Jamaat hadir di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi memperdayakan sebuah kolej vokasional di Rembau pada 2022.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkenaan pembekalan barangan basah dan kering serta fabrik berjumlah keseluruhan RM24,032.20 pada bulan Julai hingga Disember 2022.

Tertuduh, Fazlizal Kefli Jamaat, 41,  yang juga ketua pembantu tadbir sebuah sekolah di Jempol bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, Fazlizal Kefli sebagai pemilik perniagaan Ftwo Jaya Enterprise telah memberikan kepada seorang ejen iaitu Foziana Isa, 41, yang merupakan pembantu tadbir Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhamad Sharip, satu dokumen iaitu Pesanan Sekolah untuk memperdayakan prinsipalnya iaitu pengetua kolej terbabit yang mana prinsipalnya mempunyai kepentingan mengenainya.

Oleh itu, tertuduh mempunyai sebab mempercayai dokumen tersebut mempunyai butir matan palsu berkenaan pembekalan barangan basah dan kering serta fabrik yang mana pembekalan itu tidak berlaku dan dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Kesalahan itu dilakukannya di Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhammad Sharip, Rembau pada bulan Julai hingga Disember 2022.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau jika butir matan palsu itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan.

Peguam, Noramin Petra Nor Hanapiah yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan yang rendah iaitu RM5,000 atas alasan tertuduh mempunyai pendapatan tidak lebih RM3,000 dan perlu menanggung isteri dan enam anak berusia empat hingga 16 tahun selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban sebulan sekali sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Oktober 2024.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN