KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) mendakwa penguatkuasaan lemah menjadi punca pihak tidak bertanggungjawab terus berani meneroka dan menceroboh hutan simpan serta tanah-tanah kerajaan negeri secara haram.
Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, kegiatan itu bukan sahaja semakin berleluasa, malah ada yang berani menceroboh menggunakan jentera berat selain mengeluarkan kos yang tinggi.
“Kita dapati sekarang masih terdapat pihak yang berani menceroboh tanah kerajaan secara haram, ini mungkin disebabkan penguatkuasaan yang masih lemah.
“Pihak berkuasa seharusnya membuat sistem pemantauan yang konkrit dengan turut melibatkan orang ramai sebagai mata dan telinga. Jika benar pemantauan sering dilakukan, kejadian yang sama tidak seharusnya berlaku,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Haslihelmy berkata, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah pun memberikan peringatan supaya pihak berkuasa negeri ini menangani isu pencerobohan tanah secara haram dengan tegas dan bersepadu bagi mengelakkan kerugian besar hasil kepada kerajaan.
Menurutnya, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga sudah menyatakan pendirian tegas berhubung perkara itu apabila tiada lagi kompaun dikenakan sebalik terus mendakwa pesalah ke mahkamah.
“Sebaliknya apa yang berlaku, ketegasan itu seperti tidak diendahkan oleh pihak berkuasa di negeri ini apabila pencerobohan tanah kerajaan tetap berlaku dan seolah-olah dibiarkan berlaku.
“Banyak kerugian sudah ditanggung oleh kerajaan negeri susulan penerokaan tersebut, pihak berwajib sepatutnya buka mata dan ambil tindakan serius bagi menangani isu berkenaan,” katanya.
Jelasnya, PSAP turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat jika wujud unsur rasuah kerana seolah-olah ada pihak yang bekerjasama sehingga kegiatan itu terlepas pandang. – UTUSAN