Pengikut GISBH terlalu taksub, ‘agungkan’ pemimpin - Utusan Malaysia

Pengikut GISBH terlalu taksub, ‘agungkan’ pemimpin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pegangan yang dibawa pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah dengan terlalu taksub dan ‘mengagungkan’ pemimpin mereka sehingga menyesatkan ajaran Islam yang sebenar.

Ini dapatan yang diperolehi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap siasatan GISBH yang mendapati kaedah perniagaan mereka telah dimudah cara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses ini mirip seperti indoktrinasi yang dipercayai menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dianuti sepenuh hati pengikut-pengikutnya.

Beliau menegaskan, doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini.

“Ini kerana kenajikam serta masa depan pengikut-pengikutnya yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpin-pemimpin mereka sahaja,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM telah memperolehi lanjutan reman bagi siasatan terhadap ahli GISBH berkait Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 September ini.

Kata beliau, ia melibatkan 24 ahli termasuk individu yang memegang jawatan tertinggi GISBH.

“Dalam pada itu, berdasarkan kepada keterangan diperolehi, sebanyak 34 tahanan telah selesai menjalani tempoh reman dan akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Manakala seramai 126 orang tahanan dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, hasil kolaborasi bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai yang berkaitan dan ini selari dengan siasatan PDRM yang dijalankan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Selain itu, PDRM turut mengesan hantaran yang dimuat baik oleh pemilik akaun Facebook Dzulkifli Salleh dengan pautan https://www.facebook.com/profile.php?id=61566503936325 di dalam page Meru dan Bukit Kapar di dalam ruangan komuniti dengan pautan https://www.facebook.com/groups/519014828796481 bagi mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISBH yang terkesan akibat isu ini.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha tersebut yang dipercayai cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu ini.

“PDRM menyeru kepada masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan bagi kes ini kepada pihak polis,” jelasnya.

Beliau juga menasihati kepada tahanan yang dibebaskan dengan jaminan agar tampil kepada pihak polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan.

“PDRM komited untuk membawa individu yang bertanggung jawab ke muka pengadilan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan keamanan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN