PETALING JAYA: Polis percaya pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang melarikan diri masih berada dalam negara kerana mereka terlalu bergantung kepada kepimpinan tertinggi organisasi itu terutama dalam hal kewangan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengikut GISBH tiada kemampuan untuk melarikan diri ke sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Kelantan kerana segala dana, elaun dan kewangan mereka mengharapkan pemimpin GIBSH yang telah ditangkap dan dibekukan akaun mereka baru-baru ini.
“Kepimpinan tertinggi GISBH telah ditangkap, jadi yang ada di bawah tidak ada kemampuan untuk lari ke sempadan negara.
“Pengikut GISBH masih ada di sini (dalam negara) dan mereka menyorok kerana tiada duit, gaji dan sebagainya untuk melarikan diri,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata agak mustahil juga untuk mereka melarikan diri ke Thailand kerana pengikut GISBH tiada tempat hendak dituju di negara berkenaan.
“Jika mereka melarikan diri sekalipun ke Thailand ke mana mereka hendak pergi? Yang lima kepimpinan tinggi GISBH telah polis tahan awal, jadi saya tidak nampak mereka ke sana.
“Buat masa ini hasil risikan dan siasatan polis tidak menampakkan pengikut GISBH melarikan diri ke sempadan negara,” jelasnya.
Mengenai dakwaan terdapat premis seperti kedai dobi, motel, farmasi dan restoran yang dikaitkan dengan GISBH di beberapa negeri menukar papan tanda di premis mereka selepas polis melakukan serbuan, Razarudin berkata perkara itu memang berlaku.
“Ya, memang ada banyak tempat dan premis GISBH telah menukar papan tanda. Kita ada kenal pasti dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini,” katanya.