KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah hari ini di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan mencabul adik iparnya yang merupakan kanak-kanak bawah umur pada Januari dan Februari lalu.
Tertuduh yang berusia 29 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan iaitu adik iparnya apabila perhubungan tersebut tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Perbuatan terkutuk itu dilakukan di sebuah rumah di Machang dekat sini kira-kira pukul 7.40 malam pada 30 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melalukan amang seksual fizikal dengan mencabul mangsa sama yang ketika itu berusia 12 tahun 6 bulan.
Perbuatan tersebut dilakukan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) semasa dalam perjalanan dari sebuah rumah di Machang dekat sini hingga kawasan sebuah sekolah di Pulai Chondong, Machang kira-kira pukul 7 pagi pada 4 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Taufikrullah Rusli dan Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu serius selain ia melibatkan kanak-kanak dan mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.
Zulfaqar dalam rayuannya memohon ikat jamin yang paling rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.-UTUSAN