KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh warganegara Indonesia, Yuni Widya Sari dikenakan denda RM10,000 atau penjara 15 bulan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi lelaki yang baru dilahirkan dengan menanamnya, akhir tahun lalu.
Mahkamah Majistret Kangar, Perlis menjatuhkan hukuman tersebut selepas wanita yang berasal dari Medan itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Wanita itu didapati menyembunyikan kelahiran bayi lelaki yang baru dilahirkan dengan mengebumikannya di kawasan rumah di Jalan Mutiara Jaya, Taman Mutiara, Kangar pada pukul 6.30 pagi, 21 Disember 2023.
Menurut fakta kes, Yuni Widya, 28, bertindak membalut dan menyimpan bayi lelaki itu dalam mesin basuh selepas panik kerana bayi tersebut tidak bergerak. Mayat bayi itu kemudian dikebumikan keesokan hari di kawasan rumahnya.
Fakta turut menyatakan, tertuduh pada awalnya memandikan bayi yang baru dilahirkan, namun bertindak di luar kawalan selepas menyedari bayi itu tidak bernyawa.
Hasil bedah siasat tidak menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan luaran mahupun dalaman yang boleh menyebabkan kematiannya.
Yuni Widya didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan denda itu selepas berpendapat, perbuatan tertuduh menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan mengebumikan mayatnya merupakan perbuatan yang bertentangan dengan norma-norma sosial dan agama.
“Tindakan tertuduh tidak wajar dan boleh menjadi barah yang membunuh keharmonian masyarakat. Wajar bagi mahkamah memandang berat kesalahan yang dilakukannya,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis bertarikh 10 September lalu yang diperolehi pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Nurshahida turut berpendapat, hukuman yang setimpal dan munasabah dapat memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulanginya serta memperbaiki diri. Tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Ketika mengemukakan rayuan, tertuduh mengaku tidak berfikir panjang ketika melakukan kesalahan itu dan memohon hukuman denda kerana perlu bekerja menyara anak-anak yang dipelihara oleh ibunya di Indonesia.
Mahkamah mengambil kira rayuan tertuduh bahawa dia mempunyai tanggungan dan bekerja menjaga wanita yang berpantang selepas bersalin.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa tertuduh insaf, kesal dan tidak akan mengulangi kesalahan itu. Pihak pendakwaan pula mahukan tertuduh dikenakan hukuman penjara sebagai pengajaran kepada masyarakat luar.
Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati terhadap hukuman tersebut telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Dia mengaku bersalah ketika didakwa pada 11 Januari lalu dan hukuman ditangguhkan pada 22 Mac bagi menunggu laporan bedah siasat dilengkapkan.
Media pada 3 Januari lalu melaporkan seorang guru menemukan satu mayat bayi lelaki cukup sifat yang dibungkus dalam kain putih selepas menghidu bau busuk berdekatan kediamannya.
Hasil siasatan dijalankan mendapati bayi berukuran 46 sentimer (cm) panjang dan masih bertali pusat itu tertanam di kawasan terbuka dan tidak berpagar.