Pengarah syarikat antara lima dituduh cemar perkhidmatan air - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat antara lima dituduh cemar perkhidmatan air

LIMA lelaki termasuk pengarah sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas dakwaan menyebabkan mudarat terhadap perkhidmatan air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang pengarah dan pemegang saham sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menyebabkan mudarat terhadap perkhidmatan air di Bandar Tenggara pada 4 September lalu.

Tertuduh, Tan Eng Yong, 41, merupakan warga Singapura dan Lau Kam Wai, 53, warga tempatan bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hasan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa bersubahat dengan R. Navaraj, 23, K. Prasanth, 28, dan K. Jaya Kumar, 52, secara tidak langsung melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap perkhidmatan air di kawasan lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara, dekat sini antara pukul 8 malam hingga 11.30 malam, 4 September lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang dibaca bersama dengan Seksyen 124K kanun yang sama.

Dalam pertuduhan berasingan Navaraj, Prasanth dan Jaya Kumar pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama didakwa melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap perkhidmatan air.

Mereka didakwa atas Seksyen 124K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan maksimum 40 tahun, jika disabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh mengangguk memahami pertuduhan dibacakan serta mengaku tidak bersalah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd. Azhar, manakala Eng Yong dan Kam Wai diwakili peguam bela, Muhammad Mohd. Nasir dan Goh Sze Han, namun tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Hayda Faridzal tidak membenarkan jaminan bagi kesemua tertuduh dan menetapkan 14 November sebagai tarikh sebutan kes dan bagi pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Ketika sesi mahkamah bermula, Prasanth rebah sehingga menganggu kelancaran mahkamah selama tiga minit.

Selepas prosiding, Prasanth memaklumkan mahkamah dia tidak mengetahui kandungan barangan yang dibawa ketika kejadian, namun Hayda Faridzal menyatakan ia sepatutnya dimaklumkan ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya