Penganggur dalam pantang mengaku buang bayi didenda RM2,000

Penganggur dalam pantang mengaku buang bayi didenda RM2,000

TERTUDUH semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Machang, Kelantan, semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Seorang penganggur didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan di belakang rumah pusaka keluarga angkatnya di Kampung Sungai Bedal di sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, Siti Nabila, 22, yang ketika ini masih dalam tempoh berpantang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai ibu kepada seorang bayi lelaki berusia satu hari didakwa meninggalkan kanak-kanak itu dengan niat hendak membuangnya.

Perbuatan itu dilakukan di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Bedal di sini kira-kira pukul 6 petang pada 7 September lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Amal Razim bertanya punca yang menyebabkan Siti Nabila meninggalkan bayi tersebut di luar rumah sama ada dia cemas atau takut.

Siti Nabila menjawab dia berbuat demikian kerana takut kelahiran bayi itu diketahui ahli keluarganya.

“Mahkamah mengambil kira keselamatan bayi tersebut yang diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dijaga selepas ditemui dalam keadaan selamat.

“Mahkamah turut berharap tertuduh dapat menjaga bayi berkenaan sebaik mungkin. Awak (Siti Nabila) bernasib baik kerana anak masih lagi hidup ketika ditemui.

“Sekiranya terjadi apa-apa kepada bayi berkenaan, pertuduhan lebih berat akan dikenakan terhadap kamu. Diharap keluarga dapat memberi sokongan untuk menjaga bayi tersebut dan mengambil iktibar,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya