Pencemaran bau: SK Kampung Maju Jaya diarah tutup - Utusan Malaysia

Pencemaran bau: SK Kampung Maju Jaya diarah tutup

BEBERAPA kampung di kawasan Tebrau, Johor Bahru dilaporkan terkesan dengan kejadian pencemaran bau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya, di sini diarah tutup serta-merta susulan dikesan berlaku pencemaran bau.di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin mengesahkan perkara tersebut.

“SK Kampung Maju Jaya ditutup sementara hari ini, maklumat lanjut akan diumumkan Kementerian Pendidikan. Jumlah individu terjejas melibatkan seramai 1,024 murid, 64 guru dan anggota kumpulan pelaksana seramai enam orang,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, Kampung Tawakal dan Kampung Maju Jaya merupakan antara lokasi terkini yang dilaporkan berlaku kejadian pencemaran akibat pembuangan sisa kimia.

Katanya, bau busuk bahan kimia yang terhasil  menjejaskan kesihatan beberapa penduduk dengan antara gejala kesihatan dilaporkan termasuk pening  dan muntah-muntah.

“Berkenaan pencemaran bau yang berlaku di Kampung Maju Jaya dan Kampung Tawakal pagi tadi, pihak bomba, polis, ketua kampung dan penghulu telah turun padang melawat kawasan. Saya turut menghubungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memaklumkan berhubung perkara ini dan beliau arahkan agar sekolah ditutup demi keselamatan guru dan murid,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Wee Tse meminta pelaku dikenakan tindakan tegas kerana telah melakukan perbuatan yang membahayakan kesihatan dan nyawa individu lain.

Perkara sama turut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz yang memberitahu, selain Kampung Tawakal dan Kampung Maju Jaya, pihaknya turut menerima aduan pencemaran di Kampung Sinaran Baru dan kawasan sepanjang Sungai Tebrau.

“Penduduk di kawasan terjejas diminta mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka, mengelakkan berada di kawasan yang terjejas dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sebarang gejala,” katanya.

Beberapa hari lalu, media melaporkan beberapa kawasan di Skudai turut terjejas dengan insiden pencemaran bau akibat pembuangan sisa kimia dikenal pasti sebagai ammonia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN