JOHOR BAHRU: Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan, di sini tidak beroperasi hari ini apabila pencemaran bau kimia yang kuat dikesan di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, langkah itu diambil setelah mendapat nasihat daripada pasukan siasatan Jabatan Alam Sekitar dan bomba yang menjalankan pemeriksaan di kampung itu bagi membendung masalah lebih serius.
“Saya telah berbincang dengan wakil penduduk di kawasan ini dan menasihati supaya sekolah agama di sini ditutup pada hari ini. Ini kerana kita belum kenal pasti lagi bahan apa yang menyebabkan pencemaran udara itu berlaku.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah lebih baik operasi sekolah agama ini direhatkan pada hari ini sementara menunggu laporan siasatan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia di mendapati Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan tidak beroperasi dan ibu bapa hadir untuk membawa pulang anak-anak mereka.
Terdahulu, sebuah tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Jalan Masjid, Kampung Melayu Pandan, di sini yang terletak bersebelahan dengan Sungai Pandan juga tidak beroperasi pagi tadi.
Seramai 60 kanak-kanak diarahkan pulang berikutan pencemaran bau dipercayai kimia sejak awal pagi tadi.
Pendidik Masyarakat Kemas, Siti Nor Azliza, 39, berkata, bau pencemaran yang sangat kuat itu meloyakan sehingga menyebabkan pening dan pedih mata.
“Saya datang ke tadika bersama-sama dua lagi guru pada pukul 7 pagi. Selepas subuh kami menerima pesanan ringkas daripada penduduk memaklumkan ada bau kurang menyenangkan dipercayai bau kimia.
“Sebaik tiba, saya dapati baunya amat kuat sehingga susah bernafas dan mata pedih. Kami berbincang dengan pengerusi tadika, penyelia dan pihak bomba memandangkan ketika itu sudah ada murid yang tiba. Akhirnya kami membuat keputusan untuk menutup tadika,” katanya. – UTUSAN