JOHOR BAHRU: Pencemaran bau bahan kimia yang dikesan tengah malam tadi menyebabkan penduduk di kawasan kampung dan taman sekitar di Kampung Melayu Pandan, di sini mengalami pening dan loya.
Seorang penduduk, Muhammad Mirzal Abdul Hashim, 42, menyedari bau itu kira-kira pukul 4.30 pagi ketika sedang bersiap-siap untuk berniaga.
“Saya terbau sesuatu yang kurang menyenangkan dan bertindak menghubungi talian 999 memaklumkan kejadian itu. Bomba datang pukul 8.30 pagi untuk melakukan siasatan. Bau udara tercemar itu seakan-akan bau minyak dan gas. Baunya menusuk dan kurang menyenangkan,” katanya ditemui di sini hari ini.
Pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mendapati pencemaran kimia itu dikesan di beberapa kawasan lain melibatkan Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.
Seorang penduduk Kampung Kangkar Tebrau, Zamri Surip, 67, berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangani isu pencemaran terbaru itu sebelum ada mangsa yang terkesan bagi memastikan insiden pencemaran seperti di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang tidak terjadi di kawasan itu.
“Apabila timbul isu pencemaran seperti ini, fikiran terus terbayang tragedi pencemaran Sungai Kim Kim, harapnya peristiwa itu tidak berlaku di kawasan ini,” katanya.
Bagi penduduk Taman Istimewa, Muhammad Jaafar, 66, mendakwa terjaga apabila terhidu bau busuk pada pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi tadi.
Pesara guru itu yang tinggal kira-kira 300 meter dari Sungai Pandan pada mulanya menyangka bau gas sebelum berpindah dari bilik hadapan ke bilik belakang.
“Ini pertama kali saya berdepan situasi ini yang menyebabkan saya rasa pening dan sesak nafas,” katanya sebelum menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu. – UTUSAN