Pencemaran bau: Pembersihan, pelupusan ambil masa tujuh hari - Utusan Malaysia

Pencemaran bau: Pembersihan, pelupusan ambil masa tujuh hari

KERJA pembersihan dan pelupusan sisa bahan kimia di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika akan mengambil masa selama tujuh hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan kimia yang ditemukan di dua lokasi punca pencemaran, iaitu di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika di sini akan mengambil masa tujuh hari untuk dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti kontraktor yang akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa bahan terjadual tersebut.

“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak panik semasa tempoh kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan terjadual dilaksanakan di kawasan itu.

“Langkah-langkah pencegahan juga perlu diambil termasuk tidak memasuki kawasan tercemar, segera dapatkan rawatan jika mempunyai gejala kesihatan, jangan lakukan aktiviti di sekitar Sungai Plentong dan Sungai Tebrau serta kerap mandi dan mencuci pakaian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tian Soon berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam, khususnya penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran lokasi pencemaran.

“Kerajaan negeri mengecam tindakan pihak yang mengambil jalan pintas melupuskan sisa bahan terjadual secara haram dan mereka yang bersalah boleh dipenjara mandatori selain didenda sehingga RM10 juta.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Semalam, media melaporkan tiga buah sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya; Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah diarah tutup disebabkan insiden pencemaran yang berlaku.

Malam semalam, dua lelaki, masing-masing pemandu dan  kelindan lori ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan kes pencemaran sisa kimia di bandar raya ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN