Pencemaran bau: Cari pelaku hingga ke lubang cacing - Ohh Hafiz - Utusan Malaysia

Pencemaran bau: Cari pelaku hingga ke lubang cacing – Ohh Hafiz

ONN HAFIZ Ghazi melawat kawasan di sekitar Johor Bahru yang dilaporkan berlaku pencemaran bau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mahu pelaku yang menyebabkan pencemaran bau kimia di beberapa kawasan di negeri ini dicekup dan diheret ke mahkamah.

Justeru, beliau mahu pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor mengesan pelaku sehingga berjaya.

“Cari sampai ke lubang cacing, siapa yang bertanggungjawab perkara ini berlaku. Pencemaran bau ini sudah berlaku sejak minggu lepas, saya mahu dia dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Terdahulu, Onn Hafiz mengadakan lawatan ke lokasi pencemaran bau di sekitar kawasan Johor Bahru susulan aduan diterima berkenaan pencemaran bau yang berlaku.

Beliau turut mengarahkan PDRM dan agensi berkaitan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu pencemaran bau dan  berharap dapat dibendung serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya amat berharap agar isu ini tidak berulang lagi. Saya mohon agar pengusaha perindustrian dan orang ramai dapat bersama-sama menjaga kebersihan dan kualiti persekitaran kita,” katanya.

Onn Hafiz berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini telah turun ke lokasi bagi menjalankan siasatan terperinci.

Katanya, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sisa bahan kimia yang terkandung dalam sampel air yang tercemar untuk membendung isu pencemaran yang berlaku dari terus merebak.

“Saya dimaklumkan siasatan telah dilaksanakan oleh JAS dan JBPM Negeri Johor. Hasil siasatan mendapati bahan kimia yang dijumpai di kawasan sungai tersebut berpotensi membahayakan kesihatan awam. Selain itu, komponen beracun yang telah mencemari udara dan menyebabkan bau yang sangat kuat serta tidak menyenangkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan awam tentang bau kimia di sekitar Impian Emas sehingga ke kawasan Flat Melana, Perling.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak JAS. Jika ada kawasan berhampiran yang ada bau (bahan kimia), mohon maklumkan. Maklumat ini penting supaya pihak JAS dapat mengukur anggaran keluasan kawasan pencemaran bau dari mana sehingga mana dan cari puncanya,” tulisnya dalam laman sosial Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar meminta orang awam memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN