JOHOR BAHRU: Siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini di Kampung Melayu Pandan, di sini mendapati kehadiran gas ammonia yang tinggi disyaki menjadi punca berlaku pencemaran bau di beberapa kawasan sekitar, semalam.
Timbalan Pengarah Kanannya, Mohd. Rashdan Topa berkata, kehadiran gas ammonia itu dikesan menerusi ujian menggunakan alat pengukur gas dan pemantauan hari ini mendapati bacaan gas ammonia di kawasan tersebut semakin berkurangan.
Katanya, pengawasan kualiti air di Sungai Pandan kira-kira pukul 1.30 petang semalam mendapati bacaan parameter bacaan oksigen terlarut (DO) adalah rendah.
“Kita menerima laporan mengenai pencemaran bau adalah pada tengah malam semalam dan bacaan tertinggi yang direkodkan adalah pada pukul 2 petang semalam, iaitu bacaan melebihi AEGL 1 (tahap kepekatan udara selamat). Pengawasan kualiti udara yang dijalankan oleh JAS di Sungai Pandan pada pukul 1.10 pagi tadi mendapati bacaan kepekatan ammonia dan lain-lain parameter adalah normal,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan beberapa penduduk di sekitar Taman Daya, Taman Istimewa dan Seri Austin mengadu pening dan loya selepas terhidu bau kimia d kawasan perumahan masing-masing.
Bau kimia yang kuat di kawasan Kampung Melayu Pandan menyebabkan sebuah tadika dan sekolah agama di kawasan berhampiran ditutup.
Rashdan berkata, sampel air Sungai Pandan dan tanah telah dihantar ke Jabatan Kimia negeri bagi mengenal pasti kandungan bahan kimia lain yang masih belum dikenal pasti jenisnya dan berharap keputusan itu dapat diketahui dalam masa terdekat bagi membantu siasatan tentang punca pencemaran.
Selain pemantauan dari darat, JAS turut menggunakan dron di sepanjang dua kilometer aliran Sungai Pandan bagi mengesan sejauh mana sungai itu tercemar sehingga airnya berubah warna menjadi kehitaman.
“Pemantauan dron di Sungai Pandan yang diadu tercemar mendapati air sungai berwarna kehitaman, terdapat kilauan minyak pada permukaan sungai dan kehadiran bau tengit yang agak kuat. Kita turut mengesan kilauan minyak di sungai berhampiran Kawasan Perindustrian Tebrau yang dipercayai bahan kimia,” katanya sambil memberitahu pemeriksaan di premis-premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Pandan juga telah dijalankan.
Katanya, pemeriksaan premis itu turut melibatkan loji-loji kumbahan selain kilang yang menggunakan ammonia seperti kilang baja dan ais.
“Kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa bahan kimia itu dibuang oleh lori yang membawa sisa buangan dari luar ke kawasan tersebut, katanya.
Setakat ini dua orang dari kawasan terjejas mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan setelah mengalami pening dan loya akibat terhidu bau kimia. – UTUSAN