Pemilik BMW diburu, langgar pekerja bengkel enggan bayar RM38,000 - Utusan Malaysia

Pemilik BMW diburu, langgar pekerja bengkel enggan bayar RM38,000

SEORANG pemilik BMW dan rakannya diburu polis kerana melanggar dan mencederakan pekerja bengkel ketika melarikan diri kerana enggan membayar kos membaiki keretanya berjumlah RM38,000 di Taman Setia Tropika, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik kenderaan mewah jenis BMW melarikan diri dipercayai kerana enggan membayar kos membaiki kenderaan tersebut berjumlah RM38,000 di Taman Setia Tropika, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian itu dilaporkan pemilik bengkel berkenaan yang berusia 29 tahun.

Suspek yang berusia 40 tahun telah menghantar kenderaan itu ke bengkel berkenaan untuk dibaiki pada 7 September lalu.

“Pada pukul 10 malam semalam, lelaki itu datang kembali ke bengkel bersama seorang rakannya dan berpura-pura mahu menguji kenderaan tersebut. Pengadu mengarahkan seorang pekerja mengikut suspek kerana bimbang dia melarikan diri tanpa membuat pembayaran.

“Semasa ujian pemanduan di kawasan Taman Bukit Kempas, suspek meminta pekerja keluar untuk memeriksa bunyi bising di kawasan bonet kenderaan. Apabila pekerja membuka pintu, rakan suspek menyembur pemedih mata sebelum suspek melarikan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pengadu yang cuba menahan kenderaan itu ketika ia melintasi hadapan kedai dengan memegang cermin sisi kenderaan bagaimanapun cuba dirempuh.

“Kemudian, seorang lagi pekerja bengkel yang cuba mengejar suspek menggunakan motosikal telah dihimpit sehingga jatuh. Akibat kejadian itu, pengadu cedera pada siku kanan, seorang pekerja mengalami pedih mata, manakala seorang lagi pekerja patah tangan kanan, luka di lutut kanan selain melecur pergelangan tangan kiri,” katanya.

Pihak polis kini giat mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai  yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat menerusi talian 019-3811817. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya