Pemergian Eddin Syazlee satu kehilangan besar buat Bersatu - Utusan Malaysia

Pemergian Eddin Syazlee satu kehilangan besar buat Bersatu

JENAZAH Allahyarham Datuk Eddin Syazlee Shith disembahyangkan di Masjid Taman Bukit Chedang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Ainsdale, Seremban.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemergian bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Allahyarham Datuk Eddin Syazlee Shith, 50, yang meninggal dunia di kediamannya di Taman Bukit Chedang, di sini pagi tadi disifatkan sebagai kehilangan besar dalam dunia politik khususnya buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, Allahyarham memberikan sumbangan yang cukup besar khususnya sebagai antara pengasas parti Bersatu di negeri ini.

“Allahyarham menjadi tempat kepada kami pemimpin muda untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar, beliau sentiasa menasihati kami malah beliau yakin pemimpin-pemimpin muda dalam Bersatu di negeri ini akan menjadi pemimpin-pemimpin yang berkualiti.

“Beliau menjadi wakil rakyat pertama Bersatu di negeri ini iaitu sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah dan sepanjang tempoh memegang jawatan itu termasuk tiga portfolio sebagai timbalan Menteri, Allahyarham telah menjalankan tugas dengan cukup baik.

“Seminggu lepas, saya ada bertemu Allahyarham, dan pada masa itu beliau sempat memberikan nasihat kepada saya untuk sentiasa menjalankan tugas dengan baik, sehingga ke akhir hayat beliau, Allahyarham masih terus menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin yang penuh tanggungjawab,” katanya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, balu Allahyarham, Datin Dr. Nurul Azlin Ibrahim berkata, suaminya meninggal dunia akibat komplikasi penyakit barah yang dihidapi sejak bulan April lalu.

“Sebelum ini arwah mendapatkan rawatan di HUKM (Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) namun rawatan terakhir di Hospital KPJ Seremban. Arwah dibawa pulang ke rumah semalam dan meninggal dunia pagi ini kira-kira pukul 7 pagi tadi.

“Keadaan arwah memang di tahap kritikal sebab itu dibawa pulang ke rumah atas nasihat doctor, hajat arwah memang mahu meninggal dunia pada hari Jumaat dan tercapai hajat arwah itu,” katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Kariah Taman Bukit Chedang di sini tengah hari tadi untuk dimandi dan dikafankan serta solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Ainsdale selepas solat Jumaat.

ALLAHYARHAM Datuk Eddin Syazlee Shith

Allahyarham merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada tahun 2018.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Ketika di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) semasa pentadbiran Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kemudiannya menjadi Timbalan Menteri Kerja Raya.

Semasa pentadbiran Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Allahyarham dilantik pula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Bekas Pengerusi pertama PN Negeri Sembilan itu bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah pada PRU Ke-15 tahun 2022. Allahyarham pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2023 turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN