Pembantu pengajar ditahan Op Global tidak mengaku lakukan amang seksual - Utusan Malaysia

Pembantu pengajar ditahan Op Global tidak mengaku lakukan amang seksual

MOHAMMAD Fawzun Azim Ismail dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban bagi didakwa atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki di sebuah madrasah di Kuala Pilah sekitar tahun 2023.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki di pusat jagaan itu sekitar tahun 2023.

Tertuduh, Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Ketika prosiding, Surita menegur tertuduh yang tidak jelas menjawab pertanyaan jurubahasa sama ada mengaku salah atau tidak, namun kemudian tertuduh membuat pengakuan dengan jelas supaya tidak mengelirukan mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fawzun didakwa merangsang mangsa secara seksual dengan menyuruh kanak-kanak itu membuat sentuhan fizikal ke atas tertuduh dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa iaitu empat kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 13 tahun ketika kejadian.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah madrasah di Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan GISBH sekitar tahun 2023.

Sehubungan itu, empat pertuduhan ke atas tertuduh dibuat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) manakala dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan, jika mahkamah membenarkan dia memohon jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia merupakan seorang pelajar di sebuah pusat kemahiran, bagaimanapun tertuduh gagal membuktikan statusnya sebagai pelajar kepada mahkamah.

“Saya minta jaminan dikurangkan kerana sedang sambung belajar dalam kursus animasi 3D, saya baru mendaftar pada bulan Ogos lalu,”katanya.

Bapa tertuduh yang kemudian tampil sebagai penjamin memberitahu anaknya berulang alik ke kolej dari rumah, tetapi dia juga gagal membuktikan bahawa tertuduh merupakan pelajar melalui dokumen sokongan.

Difahamkan tertuduh sebelum ini ditahan dalam Op Global di pekarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan, tidak mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta boleh dihubungi bila-bila masa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Oktober depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Semalam media melaporkan tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan GISBH didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki pada 2022 hingga 2023.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN