Pembantu kedai rugi RM106,400 ditipu lima individu - Utusan Malaysia

Pembantu kedai rugi RM106,400 ditipu lima individu

RAIZ MUKHLIZ AZMAN AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang wanita kerugian sebanyak RM106,400 ditipu oleh lima individu berlainan menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 27 tahun itu kelmarin

“Mangsa menyatakan kira-kira pukuñ 9 pagi, 29 Ogos lalu telah menerima panggilan daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai kakitangan Shopee Malaysia. Individu tersebut telah meminta mangsa membuat laporan polis kerana mendakwa mangsa menjual produk kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan.

“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai kemudiannya telah disambungkan kepada beberapa individu berbeza yang menyamar sebagai pegawai polis. Mangsa diberitahu oleh individu tersebut bahawa dia mempunyai satu waran tangkap kerana terlibat dengan penggubahan wang haram dan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Akibat takut, mangsa telah memberikan maklumat peribadi miliknya dan telah diminta oleh individu berkenaan untuk memajak barang kemas yang ada dalam simpanannya.

“Mangsa telah pergi ke tiga kedai pajak di sekitar Muar untuk memajak barang kemas dan memindahkan wang hasil daripada pajakan tersebut ke dalam empat akaun bank berbeza berjumlah RM106,400.  Selepas membuat semua pembayaran tersebut, mangsa disuruh membuat pembayaran lagi namun mangsa berasa pelik dan berasa ditipu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian semak mule menerusi laman web www.semakmule.rmp.gov.my/. sebelum membuat sebarang pembayaran atau 

transaksi dalam talian serta memuat turun aplikasi ‘whoscall’ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN