PONTIAN: Gara-gara tindakan pemandu Toyota Vellfire memotong sebuah kenderaan di atas Jambatan Ayer Baloi menyebabkan seorang terbunuh, tiga cedera parah dalam kemalangan yang melibatkan empat buah kenderaan di sini, malam tadi.
Kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira, Toyota Vellfire, Perodua Axia dan Proton Saga itu juga menyebabkan kesesakan kira-kira dua kilometer dari kedua-dua arah, Pontian ke Benut.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.45 malam tadi di Kilometer 73.5, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, berhampiran Kampung Ayer Baloi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada Toyota Vellfire bergesel dengan kereta Proton Saga yang cuba dipotongnya.
“Akibatnya, Toyota Vellfire telah memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta Proton Wira dan Perodua Axia yang berada di hadapannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Perlanggaran tersebut menyebabkan pemandu kereta Proton Wira, Mohd. Sadik Ahmad mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kemalangan.
“Penumpang hadapan dan dua lagi di belakang kereta Proton Wira mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Pontian, manakala pemandu Toyota Vellfire dan Perodua Axia mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat. – UTUSAN