Pemandu lori sebabkan kemalangan 10 kenderaan positif dadah - Utusan Malaysia

Pemandu lori sebabkan kemalangan 10 kenderaan positif dadah

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan membabitkan dua buah lori dan lapan buah kereta di Jalan Seremban-Tampin dekat Rahang, Seremban tengah hari tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori yang terbabit dalam nahas melibatkan dua buah lori dan lapan buah kereta sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki pada kejadian di Jalan Seremban-Tampin tengah hari tadi didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata,  ia hasil ujian air kencing yang dilakukan terhadap lelaki berusia 38 tahun itu selepas tangkapan dibuat selepas kejadian.

“Hasil ujian air kencing ke atas pemandu lori jenis Hino mendapati suspek positif dadah jenis methaphethamine. Pihak polis telah membuat tangkapan ke atas pemandu lori tersebut dan permohonan reman akan dibuat esok,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Sementara itu, menurut Mohamad Hatta, nahas berhampiran lampu isyarat Taman Bidara itu berlaku lebih kurang pukul 1.25 tengah hari dengan setiap kenderaan terlibat dinaiki oleh seorang pemandu manakala salah sebuah daripada kenderaan membawa seorang penumpang.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kesemua kenderaan bergerak perlahan dan pada masa yang sama datang sebuah lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun membawa muatan batu gunung dari arah Tampin ke Seremban dipercayai telah hilang kawalang lalu terbabas dan melanggar kenderaan yang berada di hadapan.

“Akibat kemalangan itu, kenderaan yang lain telah melanggar antara satu sama lain. Seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Proton Iswara telah disahkan maut di  lokasi kemalangan akibat tersepit di dalam keretanya yang telah dihempap oleh lori tersebut.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk tujuan bedah siasat. Selain itu terdapat seorang mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJS iaitu seorang wanita berumur 48 tahun yang merupakan penumpang kepada sebuah kereta jenis Nissan X-Trail yang mengalami kecederaan patah tangan kanan,” katanya.

Menurut beliau, lain-lain mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan dan dibenarkan pulang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” kata Mohamad Hatta lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN