Pemandu lori rempuh lima kereta direman empat hari, positif dadah

Pemandu lori rempuh lima kereta direman empat hari, positif dadah

SEORANG lelaki yang merupakan pemandu lori dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi permohonan reman terhadapnya bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan lima buah kereta dan sebuah lori di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, Nilai, Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori terbabit dalam nahas rempuhan ke atas lima buah kereta sehingga mengakibatkan kematian seorang wanita di Nilai dekat sini semalam direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, permohonan reman terhadap lelaki berusia 30 tahun itu dibuat di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini.

Katanya lagi, hasil ujian urin ke atas pemandu lori berkenaan yang diambil semalam juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine.

Semalam media melaporkan, seorang wanita maut selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu apabila keretanya dan empat buah kereta lain dirempuh sebuah lori membawa muatan tanah dalam nahas di Nilai di sini petang semalam.

Kejadian berlaku lebih kurang pukul 3.45 petang di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, Nilai di sini.

Menurut Mat Ghani, siasatan awal mendapati semasa kejadian sebuah lori tipper jenis Nissan dipandu oleh seorang lelaki berumur 30 tahun yang dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, Nilai lorih hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar lima buah kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat berwarna merah. 

“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang wanita berusia 31 tahun telah tersepit di tempat duduk pemandu. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat orang mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza mengalami kecederaan ringan. Pemandu lori dan empat orang yang masing-masing yang menaiki tiga lagi kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN