KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Park Jaehong yakin kemasukan lima pemain baharu mampu mengubah nasib pasukan
dalam baki saingan Liga Super musim ini.
Jaehong berkata, kehadiran tonggak baharu itu bukan sahaja menambah sengat dibahagian serang namun pada masa sama memberikan pilihan kepadanya untuk merencankan ramuan lebih ampuh selepas ini.
Menurutnya, pemain yang dibawa masuk itu mempunyai kualiti dan kemampuan sekali gus mampu memainkan peranan di pelbagai posisi.
“Ini bakal mengubah KDN FC menjadi sebuah pasukan yang lebih sukar untuk diramal. Pada masa sama saya sendiri akan mempunyai kepelbagaian pilihan pemain untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.
“Kehadiran pemain-pemain baharu ini juga membolehkan kami membuat penggiliran berdasarkan taktikal perlawanan. Saya yakin mereka mampu membantu KDN FC menjadi pasukan yang lebih baik terutama di jentera serangan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Jurulatih dari Korea Selatan itu memberitahu, beliau akan memanfaatkan kehadiran tonggak baharu tersebut untuk membawa KDN FC terus bergerak ke hadapan.
“Kami mahu memburu jaringan dan mengutip mata dalam setiap perlawanan. Sekarang kami perlu terus melihat ke hadapan dan memperbaiki kedudukan pasukan dalam carta liga.
“KDN FC perlu terus berjuang dan masuk semula ke dalam persaingan liga. Kami perlu cari jalan untuk keluar dari kedudukan tercorot,” ujarnya.
Setakat ini Sang Kijang Emas telah menandatangani Layth Kharoub (penyerang) Aung Kaung Mann (penyerang), Hakimi Abdullah (tengah), Muhaimin Izuddin (tengah) dan Mohammad Fikri bin Che Soh (penjaga gol).
Terdahulu, KDN FC mengumumkan perpindahan keluar tiga penyerang importnya, iaitu Chadrack Lukombe Muzungu, Valdumar Augusto Te dan David Ribera.
-habis-